Ahmad Zahid Beri Bayangan “Sehingga Bulan 12 ini”

Oleh Malay Digest  18 Jun 2025

PORT DICKSON, 18 Jun – Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi berkata Parti MCA akan tetap bersama Barisan Nasional (BN) dan setiap parti komponen juga akan terus diberikan tempat untuk bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang. Demikian kenyataan beliau ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Port Dickson, ahad lalu.

“Ketika ini mereka (MCA, MIC) sedang diuji. Jangan pernah tinggalkan rakan-rakan kita dalam MCA dan MIC,” katanya. Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dalam pada itu berkata, ketika UMNO berpecah kepada ‘dua pasukan’ pada tahun 1987, namun parti komponen BN yang lain terus menjadi pemangkin kepada kewujudan BN. 

“Jadi pada kami, UMNO mesti menjaga rakan-rakan kami jika mereka ada masalah. Ini adalah semangat BN yang harus kami kumpulkan dan saya yakin rakan-rakan kami akan terus bersama-sama dengan gagasan BN ini,” katanya.

“Dulu kita ada 14 parti, sekarang ada empat parti. Lebih baik empat ini yang taat setia dengan BN. MCA, MIC jangan cuba-cuba lah kawan dengan orang baharu,” katanya lagi. Beliau juga merujuk kepada seorang Menteri yang sedang masuk ke “tempat” baharu dengan sebuah parti yang tidak mahu dinamakan.

Dalam ucapannya, beliau menyifatkan parti itu sekarang baru “merasai” air dan nasi setelah lapar dan dahaga selama 25 tahun. “Kita nak tengok parti mana yang lebih baik? UMNO atau parti itu,” ujarnya sambil melontarkan bayangan tidak perlu lama untuk menilainya, mungkin setahun dua atau sehingga bulan 12 ini.

Kenyataan Ahmad Zahid ini menghangatkan lagi spekulasi bahawa Pilihan raya Umum ke-16 bakal diadakan dalam masa terdekat.