Anwar Ibrahim Disarankan Mengambil Cuti Rehat
Oleh Malay Digest 23 Jun 2025
KUALA LUMPUR, 23 Jun 2025 – Sekretariat Pertahan Sistem Kehakiman. hari ini menggesa reformasi menyeluruh terhadap proses pelantikan anggota kehakiman tertinggi negara bagi memastikan sistem perundangan bebas daripada pengaruh politik eksekutif.
Dalam satu sidang meja bulat yang diadakan di Wisma Sri Tamadun, Kuala Lumpur, petang tadi sekretariat menegaskan bahawa pelantikan Hakim-Hakim Kanan di Istana Kehakiman mesti dibuat berdasarkan kelayakan, integriti, dan senioriti, serta tidak dipengaruhi oleh hubungan politik atau kecenderungan peribadi mana-mana pihak.
“Tidak harus wujud, atau persepsi wujudnya, konflik kepentingan oleh Perdana Menteri dalam pelantikan posisi tertinggi kehakiman, khususnya apabila beliau terlibat dalam kes peribadi yang sedang dibicarakan di mahkamah,” menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan.
Sekretariat itu turut menuntut agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengisytiharkan dirinya berada dalam konflik kepentingan dan mengecualikan diri daripada terlibat dalam sebarang proses pelantikan kehakiman sepanjang kes peribadinya berjalan di mahkamah.
Sekretariat juga dengan tegas mencadangkan Anwar Ibrahim mengambil cuti rehat daripada jawatan Perdana Menteri sehingga kesnya di Mahkamah selesai kerana persepsi, dan/atau kemungkinan, kacau ganggu dalam pentadbiran Kehakiman akan wujud selagi mana beliau memegang jawatan tersebut.
Sidang meja bulat itu turut menyarankan agar Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 serta Perlembagaan Persekutuan dipinda supaya Perdana Menteri tidak lagi terlibat dalam proses pelantikan hakim.
“Pihak pembangkang di Dewan Rakyat perlu memainkan peranan aktif mendesak reformasi institusi ini untuk menjamin pemisahan kuasa yang jelas antara badan eksekutif dan kehakiman,” tambah kenyataan itu.
Antara tokoh yang hadir dalam sidang tersebut termasuk mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin; mantan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Prof Dr P. Ramasamy; Presiden HINDRAF, Waytha Moorthy; Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan; mantan Yang DiPertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim serta Ketua Penerangan Parti Pejuang, Rafique Rashid.