Thailand Tegas Pertahan Kedaulatan, Kecam Ancaman Kemboja
Oleh Malay Digest 17 Jun 2025
THAILAND TEGAS PERTAHAN KEDAULATAN, KECAM ANCAMAN KEMBOJA
BANGKOK, 17 Jun – Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra semalam menegaskan bahawa Thailand adalah sebuah negara yang kuat dan bersatu serta tidak akan bertolak ansur dengan layanan buruk, tuduhan atau ancaman terhadap kedaulatannya, ketika pertikaian sempadan dengan Kemboja terus berlarutan.
Beliau turut mengkritik Kemboja kerana menggunakan media sosial untuk menyampaikan mesej, bukannya saluran rasmi. Katanya, kenyataan sedemikian di luar kerangka diplomatik rasmi dan hanya menimbulkan kekeliruan serta huru-hara.
Paetongtarn mengeluarkan kenyataan itu selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai keselamatan kanan bagi membincangkan hasil rundingan Suruhanjaya Sempadan Bersama Thailand–Kemboja (JBC) hujung minggu lalu.
Kenyataan keras itu dibuat selepas laporan bahawa Presiden Senat Kemboja, Hun Sen, mengancam untuk menutup semua pintu sempadan dengan Thailand sekiranya Bangkok tidak mengembalikan waktu operasi sempadan seperti biasa dalam tempoh 24 jam.
Menurut Phnom Penh Post, Hun Sen berkata: “Jika Thailand tidak membuka semua pos sempadan, esok Kemboja akan menutup semua pos sempadan dan menghalang Thailand daripada menghantar barang ke negara kami.”
Namun, Paetongtarn menegaskan bahawa Thailand tidak menutup sempadan dengan Kemboja, sebaliknya hanya menyusun semula waktu operasi berikutan peningkatan penggunaan senjata jarak jauh di kawasan sempadan.
“Kerajaan Thailand tidak pernah mengeluarkan arahan untuk menutup pos sempadan,” katanya.
“Apa yang sedang dilakukan sekarang hanyalah penetapan waktu buka dan tutup bagi tujuan keselamatan, berdasarkan keputusan Majlis Keselamatan Negara yang memberi kuasa kepada tentera untuk bertindak bagi mengelakkan kesan pergerakan ketenteraan dan penggunaan senjata jarak jauh oleh pihak Kemboja.”
Beliau menambah bahawa langkah penetapan waktu operasi ini mungkin berubah mengikut keadaan, kerana keselamatan rakyat adalah keutamaan.
Ketika ditanya tentang kemungkinan Kemboja melancarkan kempen maklumat terhadap Thailand, Paetongtarn menjelaskan bahawa komunikasi tidak rasmi seperti media sosial hanya menjejaskan kedua-dua rakyat Thailand dan Kemboja.
Katanya, kerajaan dan angkatan tentera mempunyai persefahaman bersama untuk mengelakkan konfrontasi ganas sambil tetap mempertahankan kedaulatan negara.
“Tentera dan kerajaan mempunyai pendirian sama: kedaulatan negara mesti dipertahankan,” tegasnya.
Beliau juga menegaskan bahawa Thailand tidak mengiktiraf bidang kuasa Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), susulan kenyataan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet bahawa pihaknya telah memfailkan aduan ke ICJ berhubung empat kawasan pertikaian di sempadan.
Empat kawasan tersebut ialah Tamone Thom, Tamone Touch, Ta Krabey dan Mom Bei, yang dikenali di Thailand sebagai Ta Muen Thom, Ta Muen Toch, Ta Kwai dan Segitiga Zamrud.
Satu pasukan khas yang diketuai Timbalan Menteri Pertahanan, Jeneral Nattaphon Narkphanit, telah ditubuhkan bagi merangka langkah balas terhadap tindakan Kemboja.
Sementara itu, Dewan Senat dijadualkan bersidang untuk mengadakan debat umum bagi menyoal kerajaan mengenai cara ia menangani ketegangan di sempadan Thai-Kemboja.
Timbalan Speaker Senat, Kriangkrai Srirak dan Pengerusi Jawatankuasa Senat mengenai Ketenteraan dan Keselamatan Negara, Senator Sawat Thatsana, mengeluarkan kenyataan rasmi menyeru kabinet memberikan penjelasan terhadap pendekatan mereka.
Sawat menuduh Kemboja bertindak dengan niat jahat menggunakan pelbagai taktik untuk menuntut wilayah Thailand secara licik. Beliau turut mengkritik kerajaan kerana dikatakan menerima definisi kawasan hutan pertikaian sebagai "tanah tiada pemilik" – dipercayai merujuk kepada kenyataan bekas PM Thaksin Shinawatra.
Beliau memetik Perkara 153 Perlembagaan yang membolehkan Senat memohon debat umum bagi mencadangkan langkah penyelesaian.
“Kehilangan kredibiliti perdana menteri telah menjejaskan keyakinan awam, terutama dalam pengurusan hal sempadan yang menyentuh langsung kedaulatan negara. Jika tidak ditangani segera, pencerobohan wilayah akan terus berlaku,” katanya.
Kriangkrai pula menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh menolak permintaan debat ini. Perbincangan di Senat akan membantu kerajaan menjelaskan fakta dan membendung penyebaran maklumat salah serta kebimbangan awam.
Beliau menekankan bahawa kerajaan perlu bertindak tegas dan pantas, bukan dengan pendekatan lemah atau terlalu berdiplomasi.
Walaupun menyokong mekanisme dua hala seperti Jawatankuasa Sempadan Wilayah (RBC), Suruhanjaya Sempadan Bersama (JBC) dan Jawatankuasa Sempadan Umum (GBC), beliau menegaskan semua tindakan mesti meletakkan kepentingan negara dan integriti wilayah sebagai keutamaan.
Kriangkrai turut mengkritik keputusan kerajaan yang menolak sidang khas parlimen sebelum ini, kerana ia merugikan peluang mendapatkan pandangan wakil rakyat dan memperkukuh tindakan kerajaan.
Beliau menutup kenyataan dengan menyatakan bahawa pertikaian ini tidak hanya melibatkan Daerah Nam Yuen di Ubon Ratchathani, tetapi turut melibatkan beberapa kawasan sempadan lain — Bangkok Post