DNAA: Anwar dan Zahid Kelirukan Rakyat
Foto: Azneal Ishak, MalaysiaKini
Oleh Malay Digest 27 Jun 2025
KUALA LUMPUR, 27 Jun 2025 – Ketua Penerangan Parti Pejuang, Rafique Rashid, hari ini mengkritik Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri atas kenyataan berbeza-beza mereka berhubung isu pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) melibatkan kes berprofil tinggi, sambil mendesak reformasi terhadap institusi pendakwaan negara.
Dalam satu hantaran di Facebook, Rafique berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua pemimpin utama kerajaan dalam tempoh 24 jam terakhir hanya mengelirukan rakyat.
"Perdana Menteri seolah hilang kawalan dan punca apabila melabel pengkritik isu DNAA, secara sinis bertanya: 'Adakah saya perlu jadi diktator kawal hakim-hakim?'” katanya.
Manakala Timbalan Perdana Menteri pula, dakwanya, menggunakan kesnya sendiri – yang sebelum ini menerima DNAA dalam 47 pertuduhan – sebagai contoh kepada seorang ADUN Sabah yang baru-baru ini ditahan SPRM.
“Masalah sebenar bukan pada sistem kehakiman atau hakim-hakim, tetapi pada pejabat pendakwa raya,” tegas Rafique, sambil mendakwa Peguam Negara kini bertindak sebagai ‘peguam kepada kerajaan dan eksekutif’ serta terikat dengan kuasa pelantikannya.
Cadang Suruhanjaya Pendakwaan Bebas
Sebagai jalan penyelesaian, Rafique mencadangkan penubuhan segera sebuah suruhanjaya pendakwaan yang bebas dan bertanggungjawab terus kepada Parlimen, bukan Perdana Menteri.
“Badan ini mesti mempunyai struktur pentadbiran sendiri, gaji setimpal, peluang kenaikan pangkat berdasarkan prestasi, dan diaudit secara tahunan. Bajet juga harus dibentangkan dalam Belanjawan dan diluluskan Parlimen,” katanya.
Beliau mencadangkan agar jawatan ketua suruhanjaya tersebut dikenali sebagai Peguam Negara yang hanya bertanggungjawab terhadap pendakwaan dan pertuduhan, manakala fungsi penasihat undang-undang kepada kerajaan pula diserahkan kepada Peguamcara Negara.
“Perkara ini bukan mustahil. Ia boleh dan mesti dilakukan, lebih-lebih lagi dengan kerajaan kini memiliki majoriti dua pertiga,” tambah beliau.
Mengakhiri kenyataannya, Rafique menyatakan kegagalan untuk melaksanakan reformasi hanya akan membiarkan rakyat terus dimomokkan dengan kenyataan mengelirukan daripada pemimpin tertinggi negara.