DNAA: Tubuh Jawatankuasa Khas Siasat Unsur Meragukan

Rafique Rashid, foto BERNAMA
Oleh Malay Digest  21 Jun 2025

Beliau mencadangkan agar AGC diletakkan di bawah pengawasan sebuah badan bebas yang terdiri daripada pakar perundangan, bekas hakim serta wakil rakyat dari kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang.

KUALA LUMPUR, 21 Jun 2025 – Keputusan mahkamah semalam yang memberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengundang persoalan terhadap kredibiliti Jabatan Peguam Negara (AGC), kata Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanahair, Rafique Rashid.

Menurut Rafique, tempoh masa enam tahun sejak pendakwaan dimulakan sehingga keputusan semalam menimbulkan kebimbangan terhadap keberkesanan dan ketelusan pengendalian kes berprofil tinggi oleh AGC.

“Mana-mana kes pendakwaan mestilah didakwa secara berterusan agar hak semua pihak terutama tertuduh terjaga. Bermula dari Peguam Negara tahun 2019 hingga sekarang, semuanya memikul beban untuk menjelaskan kelewatan ini,” katanya dalam sebuah kenyataan di Facebook hari ini.

Rafique turut mempersoalkan tindakan AGC yang didakwa lambat mendapatkan hampir 500 dokumen penting berkaitan kes tersebut, walaupun AGC mempunyai kuasa luas dalam hal pendakwaan.

“Persoalan besar yang rakyat mahu tahu ialah: Apa yang dilakukan sepanjang enam tahun ini?” tambahnya.

Beliau mencadangkan agar AGC diletakkan di bawah pengawasan sebuah badan bebas yang terdiri daripada pakar perundangan, bekas hakim serta wakil rakyat dari kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang.

“Satu jawatankuasa khas juga wajar ditubuhkan setiap kali DNAA diberikan dalam mana-mana kes berprofil tinggi, bagi menilai sebarang unsur yang boleh menjejaskan integriti pihak terlibat,” katanya lagi.

Rafique turut menyuarakan kebimbangan terhadap kekerapan DNAA berlaku dalam kes membabitkan ahli politik, sambil mempersoalkan hubungan pelantikan Peguam Negara dengan kuasa Perdana Menteri.