Fadhli Shaari Gesa Siasatan Segera Rawther Ejen Mossad
Fadhli Shaari, imej Facebook
Oleh Malay Digest 19 Jun 2025
KUALA LUMPUR, 20 Jun 2025 — Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari semalam menggesa pihak polis menjalankan siasatan segera terhadap dakwaan bahawa Yusoff Rawther merupakan ejen agensi perisikan Israel, Mossad, susulan laporan polis yang dibuat oleh Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dzul Hilmi Zainol.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi beliau, Fadhli menyatakan sokongannya terhadap tindakan Dzul Hilmi dan menegaskan bahawa dakwaan ini bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.
“Jika benar dakwaan ini, ertinya tindakan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), mengambil Yusoff bekerja dengannya pada tahun 2018 merupakan satu tindakan yang amat membahayakan keselamatan negara,” katanya.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut mempersoalkan sistem tapisan keselamatan di peringkat tertinggi negara, memandangkan Yusoff pernah berkhidmat di pejabat pemimpin utama Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Adakah tiada tapisan keselamatan ketika itu? Adakah terdapat lebih ramai ejen Mossad yang pernah atau masih bekerja dengan PMX? Ini persoalan yang tidak boleh dijawab dengan diam atau politik semata-mata,” ujar beliau lagi.
Fadhli menyifatkan dakwaan terhadap Yusoff sebagai “lebih bahaya dan serius berbanding salah faham GST sebagai General Services Tax,” merujuk kepada kenyataan kontroversi Anwar Ibrahim sebelum ini.
Sehubungan itu, beliau mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan segera dan tidak membiarkan laporan polis yang dibuat oleh Dzul Hilmi itu tergantung tanpa siasatan lanjut.