GST: Geng Suka Temberang

Oleh Malay Digest  16 Jun 2025

KUALA LUMPUR, 16 Jun Gelombang ketidakpuasan hati terhadap kerajaan semakin nyata apabila suara rakyat kini tidak lagi terpendam – malah diekspresikan secara sinis dan lantang di alam maya.

Itulah reaksi rakyat terhadap pentadbiran semasa, khususnya apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang sering menjadi bahan jenaka dan sindiran masyarakat. Setiap kali beliau bersuara, deretan emoji ketawa menjadi simbol penolakan dan kebosanan rakyat terhadap janji-janji yang tidak ditepati.

“Semakin hari semakin banyak emoji gelak,” kata peguam dan aktivis politik, Rafique Rashid dalam satu kenyataan tegas hari ini.

Beliau menyifatkan kerajaan pimpinan Anwar sebagai “Geng Suka Temberang” – merujuk kepada akronim “GST” yang menurutnya kini membawa makna baharu di mata rakyat.

“Kasihan sebenarnya pada pegawai kerajaan,” tambah Rafique, merujuk kepada penjawat awam yang terpaksa bekerja keras menangkis kenyataan-kenyataan kontroversi yang dikeluarkan oleh PMX.

Kritikannya tidak terhenti di situ. Beliau turut mempersoalkan tahap ketelusan dan keupayaan kerajaan yang menurutnya semakin hari semakin galak melakukan kesilapan, malah menimbulkan tanda tanya terhadap kewarasan dasar-dasar yang dibawa.

“Ada juga yang mempersoal keadaan mentalnya,” ujar Rafique lagi, merujuk kepada kebimbangan umum terhadap keutuhan kepimpinan negara ketika ini.

Walaupun begitu, masih ada kelompok yang kekal setia menyokong kerajaan, walaupun berhadapan dengan pengkhianatan dasar dan kegagalan pentadbiran. Rafique menyindir golongan ini sebagai “kartun” yang kini membina “kampung maya kuning” – merujuk kepada propaganda maya yang sarat dengan imej dan retorik yang tidak lagi menggambarkan realiti rakyat.

“Maka rakyat kena buat keputusan. Sudah terang lagi bersuluh. Turunkan mereka ini sudah jadi kewajipan,” katanya sambil menyeru kepada satu bentuk kebangkitan rakyat secara aman dan berprinsip.

“Semua mesti berhimpun. Turunkan Geng Suka Temberang. GST, itu maksud sebenar,” tegas Rafique dalam kenyataan penutup yang penuh sindiran.

Seruan ini hadir menjelang sambutan Hari Malaysia yang dijangka menjadi pentas protes dan gelombang suara akar umbi yang kian muak dengan lakonan elit politik.