Khalid Ismail Ketua Polis Negara Baharu

Khalid Ismail, imej NST
Oleh Malay Digest  21 Jun 2025

Bekas Pengarah Cawangan Khas itu mengambilalih tugas dari Razarudin Husain, yang dalam ucapan perpisahannya berkata Polis Diraja Malaysia memerlukan Kementeriannya sendiri. 

KUALA LUMPUR, 21 Jun 2025 — Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dinamakan sebagai Ketua Polis Negara (KPN) yang baharu berkuatkuasa pada hari Isnin ini. Beliau menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang menamatkan penggalnya sebagai KPN pada esok (Ahad). 

Dalam ucapan perpisahannya, Razarudin turut mencadangkan PDRM diletakkan di bawah Kementerian khususnya yang tersendiri. Menurut beliau telah menjadi aspirasi kolektif bagi badan itu, selari dengan legasi melebihi dua abad, maka sudah tiba masanya untuk PDRM berdiri secara bebas di bawah satu Kementeriannya sendiri.

“Seperti mana semua maklum, Polis, dengan kekuatan melebihi 137,000 anggota dan pegawai, merupakan agensi ketiga terbesar dalam negara di samping Angkatan Tentera Malaysia (ATM) — diikuti sektor-sektor kesihatan dan pendidikan,” katanya.

Razarudin berkata sepertimana kesihatan, pendidikan dan pertahanan, yang setiap satunya berada dibawah kementerian khusus, hal yang sama juga harus terpakai kepada PDRM. Justeru beliau berpandangan bahawa keupayaan dan daya tahan pasukan itu akan dapat dipertingkatkan jika PDRM diletakkan di bawah bumbungnya sendiri, sambil memberi contoh negara-negara seperti China, Brazil, Vietnam, Korea Selatan dan Brunei.

Razarudin menambah kertas cadangan berkenaan perkara ini telah diserah kepada Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri untuk diambil pertimbangan.

Sementara itu Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, 60 tahun telah berkhidmat dalam pasukan PDRM lebih dari 30 tahun pengalaman. Berasal dari Manong, Perak, beliau berkelayakan dalam Diploma Pentadbiran Awam (UiTM, 1986), Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Undang-Undang (UIA, 2008) dan Ijazah Sarjana Perbandingan Undang-Undang (UIA, 2013). Pernah berkhidmat sebagai Attache’ di Kedutaan Malaysia (London) (2014-2018), Ketua Cawangan Khas Negeri Pahang (2018-2021), Pengarah Cawangan Khas (2023-2025), sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu.