Pendedah Skandal Rasuah Sabah Pula Yang Didakwa

Mahajoth Singh, imej asiasamachar.com
Oleh Malay Digest  19 Jun 2025

PUTRAJAYA, 19 Jun – Pendedah maklumat (whistleblower) yang membongkar skandal rasuah di Sabah bakal didakwa pada 30 Jun ini — satu tindakan yang disifatkan peguamnya sebagai “mengejutkan dan mengecewakan”.

“Pada ketika ini, saya ingin tegaskan bahawa tanpa pendedahan anak guam saya, keseluruhan skandal rasuah di Sabah tidak akan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pendedahan beliau, yang dilakukan dengan risiko peribadi yang besar, telah memberi manfaat besar kepada kepentingan awam.

“Adalah amat mengecewakan dan mengejutkan apabila beliau ‘dihadiahkan’ dengan pendakwaan jenayah,” kata peguam Mahajoth Singh dalam satu kenyataan petang semalam.

Mahajoth berkata ketika beliau dan anak guamnya tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya petang tadi, mereka dimaklumkan bahawa “arahan dari pihak atasan” telah dikeluarkan untuk mendakwa anak guamnya.

Tambahnya lagi, anak guamnya tetap tenang dan berpegang pada prinsip meskipun SPRM memilih untuk mendakwanya — bukannya memberi perlindungan sebagai pemberi maklumat dalam isu yang menyentuh kepentingan awam secara besar.

Pemberi maklumat tersebut, seorang ahli perniagaan berusia 36 tahun dikenali sebagai Albert, telah ditahan sebaik tiba di pejabat SPRM dan kemudian dibebaskan dengan jaminan RM10,000.

Mahajoth turut mendedahkan bahawa seorang pegawai SPRM memaklumkan beliau juga akan dijadikan saksi dalam kes berkenaan.

“Saya diberitahu bahawa saya akan dijadikan saksi, walaupun saya hanyalah seorang peguam yang menjalankan tugas. Saya kemudian meminta agar notis yang sewajarnya diserahkan kepada saya — jika tidak, tindakan itu adalah tidak sah dan merupakan satu bentuk intimidasi yang jelas.

“Akhirnya, saya dimaklumkan bahawa saya tidak akan dijadikan saksi,” katanya lagi.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah dan seorang orang awam akan didakwa berkaitan skandal tersebut.

Pemberi maklumat itu, yang disoal siasat SPRM lebih sembilan jam semalam, turut membuat laporan terhadap Arifin Arif — menantu kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.

Menurut Mahajoth, laporan itu berkaitan dakwaan bahawa Adun Membakut itu telah menawarkan satu bentuk penyelesaian kepada anak guamnya.

Pemberi maklumat itu turut menyerahkan pelbagai bukti kepada SPRM, termasuk video, dokumen, dan tangkap layar mesej WhatsApp yang didakwa mengaitkan beberapa Adun dengan skandal perlombongan.

Beliau mendakwa telah membayar rasuah kepada beberapa Adun sebagai balasan untuk mendapatkan lesen penerokaan mineral.