Anwar Adalah Puncanya
Oleh Malay Digest 07 Julai 2025 | Foto Alyaa Alhadjri, MalaysiaKini
KUALA LUMPUR, 7 Julai 2025 – Ketua Penerangan Parti Pejuang, Rafique Rashid, hari ini menyatakan sokongan terhadap usaha sembilan Ahli Parlimen PKR yang menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan isu sistem kehakiman, namun menegaskan bahawa punca sebenar krisis ini adalah Perdana Menteri sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu kenyataan tegas, Rafique menyifatkan Anwar sebagai “masalah sebenar” yang mencetuskan kebimbangan rakyat terhadap integriti badan kehakiman negara.
“Secara peribadi saya sambut baik usaha Rafizi dan kawan-kawan tadi semasa sidang media. Tetapi mereka harus faham satu perkara – Anwar adalah puncanya,” katanya, merujuk kepada bekas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang meletak jawatan pada 27 Mei lalu berkuat kuasa 17 Jun.
Rafique turut mempersoalkan di mana suara sembilan Ahli Parlimen PKR tersebut ketika berlaku peristiwa penting dalam sistem kehakiman negara, termasuk persaraan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 1 Julai dan Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar pada 2 Julai.
“Mengapa mereka tidak bersuara ketika itu? Sedangkan mereka sendiri akui ini isu nasional,” tegasnya.
Beliau menegaskan bahawa tuntutan terhadap reformasi kehakiman bukanlah milik pembangkang semata-mata, tetapi memerlukan penyertaan seluruh Ahli Parlimen tanpa mengira blok.
Sekretariat Pertahan Sistem Kehakiman sebelum ini turut membangkitkan kebimbangan mengenai pelantikan hakim-hakim tinggi secara tergesa-gesa tanpa mematuhi proses yang sah, mencetuskan pertanyaan sama ada terdapat campur tangan politik dalam urusan kehakiman.
“Tiada pilihan kecuali desak Anwar Ibrahim letak jawatan. Itu sahaja cara untuk selamatkan institusi negara ini,” kata Rafique, sambil mencabar sembilan Ahli Parlimen PKR terbabit – termasuk Rafizi – sama ada mereka sanggup mengambil pendirian tersebut.