Ketiadaan Menteri Pertahanan Thailand Cetus Spekulasi
Oleh Malay Digest 03 Julai 2025
BANGKOK, 3 Julai 2025 – Ketegangan politik Thailand yang semakin memuncak kini berdepan spekulasi kemungkinan campur tangan ketenteraan, menurut pandangan pemerhati politik.
Ini selepas Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra digantung tugas oleh Mahkamah Perlembagaan negara itu pada Selasa lalu, selepas mahkamah menerima petisyen yang ditandatangani 36 senator, mendakwa Paetongtarn melanggar etika susulan satu panggilan telefon yang bocor bersama bekas pemimpin berpengaruh Kemboja, Hun Sen, berkaitan pertikaian sempadan antara kedua-dua negara.
Ketika jawatan Menteri Pertahanan masih belum diisi, ketegangan politik semakin memuncak, dengan pemerhati politik menantikan perkembangan lanjut – termasuk kemungkinan campur tangan ketenteraan.
Walaupun Ketua pertahanan Thailand pada Isnin menolak spekulasi mengenai rampasan kuasa, namun penganalisis berkata ia masih tidak boleh diketepikan sepenuhnya. Sejak berakhirnya monarki mutlak pada 1932, Thailand telah mencatat 13 siri rampasan kuasa dan beberapa cubaan lain, dengan yang terbaru pada 2014.
“Ramai rakyat Thailand enggan melihat satu lagi rampasan kuasa, tetapi kita tidak boleh menafikannya,” kata Prof Kevin Hewison dari Universiti North Carolina, AS. Beliau menambah bahawa tentera merupakan sebahagian daripada gabungan yang menggugat kerajaan sekarang.
Dalam panggilan bersama Hun Sen yang mencetuskan kemarahan awam dan membawa kepada pengunduran sekutu utama dari gabungan pemerintah, Paetongtarn dikatakan menyifatkan segelintir pihak dalam angkatan tentera Thailand sebagai “penentang”.
Prof Thitinan Pongsudhirak dari Universiti Chulalongkorn pula menyifatkan bahawa walaupun ramai menolak kemungkinan rampasan kuasa, ia “masih menjadi satu pilihan yang terbuka.”
“Sudah 20 tahun Thailand dilanda campur tangan – sama ada oleh tentera atau badan kehakiman – yang sering dicetuskan oleh protes jalanan, dan berakhir dengan kejatuhan kerajaan secara tidak demokratik,” katanya kepada CNA.
Menurutnya, selepas rampasan kuasa terakhir, ekonomi Thailand terjejas dan negara dikecam komuniti antarabangsa. Namun, jika krisis politik ini berlarutan dan menjadikan negara tidak dapat ditadbir, akan ada tekanan supaya tentera campur tangan untuk menyelesaikan kebuntuan.
Prof Hewison turut membandingkan krisis kali ini dengan rampasan kuasa pada 2006 dan 2014, masing-masing terhadap ayah dan ibu saudara Paetongtarn – Thaksin dan Yingluck Shinawatra.
Sementara itu, tokoh protes veteran, Sondhi Limthongkul, turut menyertai ribuan penunjuk perasaan di Bangkok hujung minggu lalu. Dalam ucapannya, Sondhi berkata beliau “tidak akan membantah jika tentera bertindak,” tetapi menegaskan tentera tidak sepatutnya mentadbir negara lagi.